tontonan bulan ini
Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh merangkumi keluasan 562 ekar telah diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1926 sebagai tempat pengasingan koloni kusta.
Baca lebih lanjut >Di bawah Enakmen Kusta 1926, pesakit kusta dikehendaki untuk diasingkan.Dianggarkan lebih 3000 pesakit kusta dari seluruh negara yang ditempatkan di kem pengasingan lain seperti Setapak, Pulau Jerejak, Pulau Pangkor, Tumpat danTampoi dipusatkan di mukim Gombak iaitu di Lembah Sungai Buloh "Leprosarium" (Lembah Harapan). Mereka ini diasingkan di sini kerana pada masa itu masih belum terdapat ubat yang boleh menyembuhkan penyakit kusta."Leprosarium Sungai Buloh" dibuka secara rasmi oleh Dr. Gordon Alexander Ryrie, Penguatkuasa Perubatan pertama pada 16 Ogos 1930. Penemuan ubat "Dapsone" pada tahun 1940 membolehkan pesakit-pesakit kusta di Lembah Harapan Sungai Buloh mendapatkan rawatan sepanjang hayat.
Pada tahun 1969, Program Kawalan Kusta Negara dilancarkan di mana pesakit kusta boleh mendapatkan rawatan di mana-mana pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka dan tidak perlu ditempatkan di Sungai Buloh lagi. Penyakit kusta tidak lagi dianggap sebagai masalah kesihatan masyarakat.
Pada tahun 1983, 'Pilot Projek rawatan 'Multiple Drug Therapy (MDT)' diadakan. Atas kejayaan tersebut, pada tahun 1985, MDT mula digunakan di Malaysia.Rawatan MDT hanya memakan masa selama 1 hingga 3 tahun sahaja, dengan itu KUSTA BOLEH DISEMBUHKAN.
Pada tahun 1994, negara telah mencapai matlamat WHO, iaitu kadar kejadian kes baru kusta kurang dari (1:100 000) penduduk yang sepatutnya disasarkan pada tahun 2000. Pada tahun 1995, Program Kawalan Kusta Negara telah diintegrasikan ke dalam perkhidmatan dan perubatan kesihatan asas.Pada tahun 1996, tiada lagi kes-kes baru yang diterima masuk ke pusat ini.
Pada tahun 1971 hingga Ogos 2006, pusat ini juga berfungsi sebagai sebuah hospital daerah bagi penduduk daerah Gombak, Petaling dan Kuala Selangor. Pada September 2006, Hospital Sungai Buloh mula beroperasi dan PKKN telah diserap dibawah pengurusan Hospital Sungai Buloh. Hari ini kira-kira 150 orang bekas pesakit kusta masih mendiami pusat ini sama ada di chalet atau wad-wad bekas pesakit kusta yang puratanya berumur lebih 50 tahun dan ke atas.